JAECOO Malaysia bersedia melangkah ke tahun 2025 apabila SUV Coupé Premium Off-road C9 pertama yang dipasang secara tempatan dilancarkan dari barisan pemasangan di kilang Shah Alam hari ini. Model kedua yang diperkenalkan di bawah jenama JAECOO ini dijangka mula dihantar kepada pelanggan seawal Januari 2025, mengikut jadual yang ditetapkan.
Selain SUV Coupé C9 dengan varian AWD dan 2WD, kilang di Shah Alam juga menghasilkan model JAECOO J7 AWD dan 2WD. Kedua-dua model ini kini boleh dilihat, dipandu uji, dan ditempah di semua pengedar sah JAECOO di Semenanjung serta Malaysia Timur.
Naib Presiden JAECOO Malaysia, Emily Lek, berkata, “Kami amat teruja dengan sambutan positif terhadap SUV Coupé Premium Off-road C9 dan bersedia untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan. Sebagai jenama yang komited untuk jangka panjang, kami turut menumpukan perhatian untuk memberikan pengalaman pemilikan terbaik kepada pelanggan. JAECOO akan terus peka terhadap kehendak pasaran agar dapat menyediakan kenderaan dan perkhidmatan terbaik yang memenuhi keperluan semasa.”















