Toyota Camry XV80 yang bakal dilancarkan di KLIMS 2024 adalah versi generasi kesembilan yang dinanti-nantikan, membawa pembaharuan pada rekaan dan teknologi. Model terbaru ini menampilkan reka bentuk lebih segar dengan gril “hammerhead” yang datand dari identiti Toyota hari ini, dipadankan dengan lampu siang LED berbentuk C pada lampu depan dan belakang. Rekaannya amat berbeza untuk bahagian hadapan, apabila dibandingkand engan model sebelumnya, dan rekaan bahagian belakang lebih serupa.
Di bawah bonet, Camry XV80 dilengkapi dengan enjin hibrid 2.5 liter Dynamic Force yang menghasilkan 227 PS. Gabungan enjin petrol 188 PS dan motor elektrik menawarkan prestasi yang halus dan cekap. Dilengkapi dengan transmisi e-CVT dan bateri lithium-ion yang lebih ringan dan padat berbanding bateri nickel-metal hydride (Ni-MH) sebelum ini, sistem hibrid ini menjanjikan pengalaman pemanduan yang lebih dinamik, kerana bateri jenis ini adalah pilihan yang lebih futuristik.

Platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang digunakan pada model ini memberikan keseimbangan lebih baik, dengan sistem suspensi yang dipertingkatkan untuk pengendalian yang lebih responsif. Berbanding dengan generasi sebelumnya, XV80 menawarkan prestasi yang lebih tajam dan kualiti pemanduan yang lebih mantap.
Bahagian dalam Camry XV80 juga tidak kurang menarik. Ia menawarkan papan pemuka dengan rekaan minimalist dengan dua skrin besar 12.3 inci untuk varian atas, menyediakan pengalaman infotainmen terbaik. Dengan sokongan kawalan suhu tiga zon dan sistem audio JBL sembilan pembesar suara, ia menambah nilai pada aspek keselesaan dan teknologi.

Toyota juga memfokuskan pada aspek keberkesanan bahan api dan teknologi mesra alam dengan mengurangkan berat keseluruhan model ini. Walaupun harga rasmi untuk pasaran Malaysia masih belum diumumkan, anggaran harga bagi model hibrid ini dijangka bermula sekitar RM250,000. Peminat sedan D-segmen seperti Camry kini dapat menantikan peningkatan teknologi dan kualiti pemanduan yang lebih baik berbanding sebelum ini, yang turut memberi saingan kepada model seperti Mazda 6 dan Volkswagen Arteon.
Dengan pelancaran yang semakin hampir, Camry XV80 ini dijangka mengukuhkan lagi kedudukan Toyota dalam segmen sedan D di Malaysia.


















